Wednesday, June 8, 2011

BERDAKWAHLAH WALAU DIRI BELUM SEMPURNA

Ramai orang sudah mengetahui bahawa berdakwah adalah tugas setiap individu, tetapi mereka tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah. Dalam konteks dakwah, di antara kekeliruan yang sering berlaku ialah seseorang itu menanti kesempurnaan diri sebelum mahu memulakan dakwah. Inilah factor yang menyebabkan seseorang yang mampu mencegah kemungkaran tidak mahu bangun untuk melakukannya, kerana dia merasakan amalannya belum cukup mantap dan masih terdapat banyak kelemahan pada dirinya.

Berkaitan dengan isu ini Imam Said bin Jubair berkata, “Jika seseorang itu tidak mahu mnegajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar sehinggalah dia berada keadaannya sudah sempurna, maka tidak akan ada sesiapa pun yang mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.” Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau manambah, “Dan siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna?” Imam Al-Hasan pula berkata, “Siapakah di antara kita yang melaksanakan kesemua perkara yang diserukan-Nya? Syaitan amat menyukai apabila manusia terpedaya oleh sikap ini, sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.”

Pada dasarnya, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap orang yang mukalaf lagi berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Pada hakikatnya, Islam mengakui tahap-tahap kemampuan seseorang individu itu berbeza daripada individu lain. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, “Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan kata-katanya, dan jika tidak berdaya, hendaklah dicegah dengan hatinya, dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” – riwayat Muslim.

Apabila mencegah kemungkaran, kadar minima yang dituntut ialah mengingkari dengan hati. Perkara ini disentuh dalam kitab [i]Dalilul Falihin[/i], “Mencegah dengan hati bermaksud membenci kemungkaran dengan hati, disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan apabila dia mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu, dan sesiapa yang menyetujui kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.”

Iman memerlukan bukti, dan salah satu antara bukti-buktinya ialah membenci maksiat. Tanpanya, iman berkecai di hati. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud, “Tidak ada selepas itu iman, walaupun sebesar biji sawi,” - riwayat Bukhari dan Muslim. Hati yang tidak mengingkari kemungkaran boleh membawa kepada kebinasaan. Sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Masud menegaskan, “Binasalah mereka yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar, dengan hatinya.”

Friday, May 6, 2011

MARI MENGENALI SIAPA ZAINAB AL-GHAZALI AL-JUBAILI

Dilahirkan pada 1917 , Zainab Al Ghazali Al Jubaili merupakan pengasas Jama'at Muslimat . Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

Dalam tahun 1937 ini juga, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin pada masa itu iaitu As Syahid Hassan Al Banna yang sedang cuba menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin. Jama'ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul Muslimin . Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab memikirkan semula saranan awal Hassan Al Banna agar Jama'at Muslimat bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al Ghazali sebagai pengerusi Jama'at Muslimat telah memberikan bai'ah kepada Hassan Al Banna.

Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al Banna telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih. Perjuangan beliau telah disambung oleh Al Imam Mursyid Hassan Al Hudaibi. Terdapat satu peristiwa menarik berkenaan dengan Hassan Hudaibi ini. Dalam tahun 1954, Jamal Abdul Nasser telah mengeluarkan perintah hukuman gantung kepada As Syahid Abdul Kadir Audah, As Syeikh Muhammad Fargali, Hassan Hudaibi dan beberapa orang lagi. Walaubagaimanapun, Hassan Hudaibi diserang penyakit jantung secara tiba-tiba dan doktor meramalkan bahawa beliau hanya boleh hidup beberapa jam sahaja lagi. Jamal Abdul Nasser mengampuni beliau kerana menyangka bahawa beliau akan mati keesokan harinya. Dengan kekuasaan Allah, umur Hassan Hudaibi masih panjang dan beliau akhirnya ditangkap dan dihantar ke penjara tentera buat kali kedua. Hassan Hudaibi merupakan seorang pejuang yang sejati dan begitu berani . Sewaktu beberapa orang Ikhwan yang sudah lemah kerana berada lama dalam perjuangan mengajukan cadangan agar Ikhwanul Muslimin bekerjasama dengan golongan pemerintah yang taghut, beliau telah menyuarakan pendapatnya yang masyhur:"Aku tidak memaksa seseorang bersikap tegas dan berani mengikut pendirianku tetapi aku mengingatkanmu bahawa sesungguhnya dakwah Islam tidak pernah tertegak walau sehari dengan orang-orang yang telah mengambil sikap bertolak ansur".

Pendapatnya ini dilahirkan sewaktu beliau berumur 80 tahun dan beliau terus kekal dalam penjara dan hanya dibebaskan setelah kematian Jamal Abdul Nasseer. Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme Antarabangsa. Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser dan 4 orang menterinya. Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965. Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka disebat. Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk, disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan.